Cerita pasal anjing 2
Wong Kg tak sangka ramai juga yang minat dengan cerita anjing yang Wong Kg tulis beberapa minggu lalu. Oklah minggu kita bercerita lagi pasal anjing. Anjing dan babi dan keturunan dari kedua-duanya adalah najis berat dan cara menyucikannya hendaklah basuh sebanyak tujuh kali dengan air 'mutlak' salah satunya, air yang bercampur tanah.
Andaikan anjing kawin dengan kambing dan dapat anak rupa sebiji macam kambing, anak itu dikira anak anjing atau pun babi kawin dengan kambing dapat anak sebiji rupa kambing, 'anak kambing' tu kira najis berat juga. Pegang anjing bukan tak boleh langsung, tengok kepada keperluan juga, jika ada perlunya tak jadi hal cuma kita semua mesti ada ilmu yang berkaitan dengannya jadi senang nak bersuci, dan senang ajak berbincang, panduan agama menjadikan kita berfikiran terang bukan asyik nak bangkang aje, macam yang Wong Kg baca dalam ruangan 'bukan nak kata' pancaindera Ahad 11 Julai, berkaitan Baby Erin Res-2 pegang anjing.
Ada ke patut Baby Erin pegang anjing nak disamakan dengan tugas polis gunakan anjing untuk menyiasat. Polis tu kan ada keperluannya gunakan anjing tetapi dia saja-saja pegang tu untuk apa. Lepas tu boleh kata penulis tak arif agama pulak.
Satu lagi sikap orang kita apabila nampak ada bangkai anjing di tepi jalan atau di tengah jalan akibat dilanggar kenderaan, payah sangat nak alihkan bangkai anjing ke tepi jalan atau yang paling baik, buat lubang dan tanam bangkai berkenaan atau paling mudah cari tali tarik bangkai anjing itu ke dalam parit yang biasanya ada air. Tak payah pegang pun. Kalau alih pun tak mau apalagi nak tanam lagilah....
Cuba bayangkan bangkai anjing yang tak di alih hingga dua tiga hari kemudian pecah perutnya. Lepas tu hujan pulak, lepas hujan kita pulak yang lalu di situ pergi masjid. Bukan sehari dua nak hilangkan bau tu, Selama tiga bulan kita juga yang hidu baunya. Bukankah bagus jika nampak ada bangkai anjing baru mati kebetulan hampir dengan rumah kita, kitalah yang paling layak buang bangkai berkenaan ke dalam parit sebelum ianya pecah perut dan busuk di tepi jalan berbulan-bulan lamanya.
Paling baik tanam, paling senang buang dalam parit, seminggu selepas pecah perutnya ia akan tenggelam dan tak mengeluarkan bau lagi. Kalau buang bangkai pun tak mau apalagi nak buat lubang kemudian bersusah-payah tanam?