KISAH ANAK AYAM DAN ITIK MUSCOVY DI SELANGOR
Sebelum meneruskan bicara terlebih dahulu Wong Kg mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada yang beragama Islam kerana Ramadhan adalah madrasah pendidikan setiap diri umat. Semoga madrasah Ramadhan ini berjaya mendidik kita menjadi umat yang taat. Mengambil iktibar dari kata-kata ini; Orang miskin akan berfikir, hari ini apa aku nak makan? Manakala orang-orang kaya akan berfikir hari ini aku nak makan dimana? Orang-orang tamak pula akan berfikir aku nak makan siapa?
Daerah Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang merupakan kawasan pertanian dan kebanyakan penduduknya adalah petani dan penternak seperti Wong Kg. Sedikit sangat yang kerja makan gaji. Keadaan inilah yang menyebabkan banyak skim bantuan percuma diberi kepada para petani di kampung-kampung dalam tiga daerah ini. Bantuan ini pula akan berulang-ulang setiap dua atau tiga tahun sekali. Walaupun demikian ianya (bantuan) tersebut tidak membantu menaik taraf kehidupan si penerima. Ibarat air hujan yang turun mencurah-curah dari langit, bila sampai di bawah hanya titis-titis air sahaja, yakni tidak membasahi bumi langsung!
Satu ketika dahulu sekitar 1991 selepas tragedi babi Bukit Pelanduk dihapuskan, para petani diberi anak itik Muscovy percuma sebanyak 500 hingga 1000 ekor seorang serta makanannya sekali. Pemandangan dari jauh ketika itu memutih saja kerana itik ini bewarna putih satu kampung 4 atau 5 orang yang dapat.
Selepasnya siapa yang ketawa besar yakni ketawa hingga ke telinga? Para peniaga ayam itik la yang untung besar. Berurusan dengan 'penternak segera' memang mengeyangkan. Ada yang jual seekor itik RM4. Bukan sekilo! Barang free jual 3 ringgit pun untung beb. Tak keluar modal sesen pun.
Yang beruban kepala siapa pula? Penternak persendirian macam Wong Kg. Yang benih beli, makanan ternakan beli, semuanya dengan kos takkan nak jual RM3/ekor jugak? Hendak jual ikut harga pasaran tak laku, sebab sudah jadi lambakan itik di pasaran. Macam lambakan buah durian bila dah banyak sangat. Peraih lebih suka berurusan dengan "penternak segera". Akhirnya menanggung hutang kerana tak balik modal. Itu pengalaman pahit Wong Kg pada tahun 1991.