Buru ayam hutan buat lauk kenduri
Oleh : KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
KUANTAN – Tiga lelaki memberi alasan memburu ayam hutan untuk dijadikan lauk kenduri ketika ditahan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Penor Sungai Belat, di sini kelmarin.
Mereka yang dalam lingkungan umur antara 20 dan 50 tahun itu ditahan kerana memiliki 24 ekor ayam hutan yang sudah siap disembelih dan dipercayai hasil buruan secara haram.
Menurut Pengarah Perhilitan Pahang, Khiriah Mohd. Shariff, sesiapa sahaja tidak dibenarkan berburu ayam hutan sejak isu selesema burung dihebahkan.
“Mereka (suspek) memberitahu kepada anggota kami bahawa ayam tersebut diburu untuk dijadikan lauk pada majlis kenduri di rumah salah seorang daripada mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/76 seksyen 68 iaitu menembak, membunuh dan mengambil binatang liar yang dilindungi. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
0 comments:
Post a Comment